20 kes baharu COVID-19 hari ini


PUTRAJAYA: Sebanyak 20 kes baharu positif coronavirus, COVID-19, dikesan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sehingga jam 12 tengah hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata penambahan itu menjadikan jumlah kumulatif kes yang positif COVID-19 di negara ini sebanyak 149 kes.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, kes ke-78 yang sebelum ini dilaporkan positif, kini sudah dibenarkan pulang.

“Ini menjadikan 26 kes sudah pulih sepenuhnya dan dibenarkan pulang. Bagi kes baharu yang dikenal pasti, KKM sedang mengenal pasti kontak rapat masing-masing.

“Aktiviti pengesanan kontak masih dijalankan sehingga punca di mana jangkitan ini dapat dikenal pasti,” katanya.

bharian