Tiada kes positif COVID-19 dirawat di Hospital Jasin, Melaka


MELAKA: Jabatan Kesihatan Negeri Melaka menafikan terdapat satu kes COVID-19 dipindahkan ke Hospital Jasin bagi mendapatkan rawatan seperti yang tular di media sosial.

Pengarah, Dr Ismail Ali, berkata berita yang tular melalui aplikasi WhatsApp itu tidak benar kerana tiada kes positif COVID-19 dilaporkan hingga kini di negeri itu.

“Jabatan Kesihatan meminta semua lapisan masyarakat supaya sentiasa berhati-hati dan tidak menularkan berita tidak benar yang boleh menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, jabatan itu sentiasa memastikan semua langkah kawalan dan pencegahan penyakit mematuhi prosedur tetap operasi yang telah digariskan.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat sahih dengan menghubungi Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) di talian 03-88810200/03-88810600/03-88810700.

– BERNAMA

bharian