Saya bukan punca - Hisham Hamdan


KUALA LUMPUR: Pengerusi UDA Holdings Berhad, Datuk Hisham Hamdan, menaruh keyakinan beliau bukan ‘sumber utama’ yang menyebarkan COVID-19, sekali gus mencetuskan gelombang kedua penularan wabak berkenaan di negara ini.

Menyingkap kembali kunjungan ke luar negara, beliau mengakui pernah menghadiri persidangan di Shanghai pada 13 hingga 17 Januari lalu, namun hanya mempunyai gejala jangkitan COVID-19 selepas enam minggu pulang ke tanah air.

“Ada dua isu mengenai kunjungan saya di Shanghai. Sepanjang menghadiri persidangan di sana, kes jangkitan COVID-19 yang hanya disahkan berlaku China adalah di bandar Wuhan yang tidak pernah saya kunjungi.

“Tiada syak wasangka ketika itu mengenai kemungkinan saya mendapat jangkitan apabila mengunjungi Shanghai kerana kes pertama yang dicatatkan di Shanghai adalah pada 20 Januari, sedangkan saya saya berada di sana untuk menghadiri persidangan dari 13 hingga 17 Januari.

“Di Malaysia, seminggu selepas kembali ke Malaysia, iaitu pada 25 Januari, Kementerian Kesihatan menasihatkan rakyat Malaysia untuk menangguhkan atau membatalkan perjalanan ke China, manakala Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan darurat kesihatan awam angkara COVID-19 yang mengundang kebimbangan antarabangsa, pada 30 Januari.

“Semua rangkaian peristiwa ini berlaku selepas saya kembali dari Shanghai. Tidak dinafikan gelombang kedua COVID-19 adalah dikaitkan dengan saya, tetapi ‘dikaitkan dan berasal dari saya’ adalah dua perkara berbeza,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, sebelum ini dilaporkan berkata rekod setakat jam 12 tengah hari semalam menyaksikan Hisham yang dirujuk sebagai kes ke-26 menjangkiti 26 individu lain menerusi kontak rapat.

Mengambil kira bukti penyelidikan perubatan yang mengesahkan tempoh pengeraman bagi virus terbabit adalah 14 hari, Hisham menolak kemungkinan dijangkiti COVID-19 ketika berkunjung ke Shanghai untuk menghadiri persidangan.

Selain itu, katanya, kontak rapat pertama yang dikaitkan dengannya kerana menghadiri mesyuarat bersama adalah pada 21 Februari, iaitu lima minggu selepas beliau kembali ke tanah air dari Shanghai.

“Melainkan ada penemuan penyelidikan perubatan lain yang membuktikan sebaliknya, justeru adalah penting untuk kita semua akui bahawa kunjungan saya ke Shanghai tiada kaitan dengan pengesahan saya dijangkiti coronavirus.

“Berdasarkan fakta yang dikemukakan, kita perlu berikan sokongan sepenuhnya kepada Kementerian Kesihatan untuk mengenal pasti ‘pesakit sifar’ (sumber utama penularan coronavirus di Malaysia sehingga mencetuskan gelombang kedua).

“Saya hanya individu pertama yang disahkan positif bagi COVID-19 menerusi siri pertemuan awam ini,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada barisan petugas perubatan kerana tampil memberikan perkhidmatan rawatan terbaik sepanjang ditempatkan di wad pengasingan.

bharian