Tujuh kes baharu COVID-19 dicatatkan


KUALA LUMPUR: Sebanyak tujuh kes baharu COVID-19 dicatatkan hari ini menjadikan keseluruhan 36 kes direkodkan di negara ini, menurut Pejabat Perdana Menteri.

Daripada 36 kes itu, jumlah kes sembuh adalah 22 (61.1 peratus) dan sebanyak 14 kes masih lagi dirawat di Hospital Sungai Buloh dan Hospital Kuala Lumpur.

Pejabat Perdana Menteri memaklumkan, kesemua kes yang dirawat di wad adalah dalam keadaan stabil.

Maklumat itu dibentangkan Pasukan Petugas Khas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada pertemuan dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin di pejabatnya, hari ini.

Pertemuan yang turut menyentuh mengenai status terkini jangkitan berkenaan disertai Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali; Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri M Shahrul Ikram Yaakob; Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Mohtar Mohd Abd Rahman; Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud.

Secara keseluruhan Muhyiddin berpuas hati dengan agensi kerajaan yang melaksanakan tugas dengan baik dalam menguruskan penularan COVID-19 dan merakamkan penghargaan kepada semua pihak terbabit khususnya kakitangan barisan hadapan dan kakitangan perubatan.

Perdana Menteri juga mengarahkan Pasukan Petugas Khas terus memantau status dan usaha pencegahan penularan COVID-19 bagi memastikan kesejahteraan rakyat Malaysia.

Dalam masa yang sama, Perdana Menteri menasihatkan rakyat tidak cemas dengan melakukan pembelian panik dan sentiasa mengambil langkah penjagaan kesihatan sepertimana yang digariskan oleh KKM.

“Mereka yang berkunjung ke negara berisiko seperti China, Korea Selatan, Jepun dan Itali hendaklah mematuhi nasihat perjalanan dan kesihatan yang dikeluarkan dan segera ke hospital atau klinik sekiranya mempunyai simptom seperti batuk, demam dan sesak nafas,” menurut kenyataan itu.

Sehingga jam 8.00 tadi jumlah keseluruhan kes COVID-19 adalah sebanyak 90,306 kes yang membabitkan 70 buah negara dan sebanyak 45,603 (50.5 peratus) kes sembuh dan 3,084 (3.4 peratus kematian dicatatkan).

bharian