Pengasas pertubuhan agama bakal didakwa membunuh


SEOUL: Kerajaan Seoul meminta pendakwa raya untuk memfailkan tuduhan termasuk membunuh terhadap pengasas sebuah pertubuhan agama kerana gagal memberi kerjasama berkaitan COVID-19.

Korea Selatan antara negara yang mencatatkan kenaikan jumlah jangkitan COVID-19 apabila lebih 4,000 kes dicatatkan dalam tempoh kurang dua minggu dengan 60 peratus daripadanya dikaitkan dengan Gereja Shincheonji.

Kerajaan Seoul berkata, pihaknya sudah memfailkan aduan undang-undang kepada pendakwa raya terhadap 12 pemimpin pertubuhan itu termasuklah pengasasnya, Lee Man-hee dengan tuduhan membunuh, menyebabkan kemudaratan dan pelanggaran Akta Penyakit dan Kawalan Berjangkit.

“Mereka tidak melakukan sebarang tindakan untuk memastikan ahlinya memberi kerjasama dengan pegawai kesihatan bagi menangani penyebaran COVID-19,” kata pihak berwajib dalam kenyataannya.

Datuk Bandar Seoul, Park Won-soon dalam laman Facebooknya berkata, jika mereka mengambil langkah berjaga-jaga lebih awal, jumlah kenaikan kes COVID-19 dan kematian di wilayah Daegu dan Utara Gyeongbuk dapat dikawal.

Sementara itu, pihak Shincheonji enggan memberi komen yang mengatakan apa yang penting sekarang ialah membasmi kuman dan keutamaan untuk menamatkan COVID-19 tidak lama lagi.

Penyebaran COVID-19 di Shincheonji bermula apabila seorang ahlinya, 61, didapati demam dan menghadiri sekurang-kurangnya empat acara di gereja di Daegu iaitu bandar keempat terbesar sebelum disahkan menghidap jangkitan berkenaan.

Organisasi berkenaan turut memohon maaf bagi pihak ahlinya yang belum menjawab panggilan kajian dan menegaskan bahawa kerjasama sepenuhnya akan diberikan kepada kerajaan untuk membendung virus itu. - AFP

bharian